Pentaksiran PT3 2018

Anak-anak yang dikasihi dan disayangi sekalian…

Kejayaan seorang pelajar tidak hanya terletak kepada usaha perancangan sekolah dan kesungguhan yang dimainkan oleh guru semata-mata. Kita sama-sama amat sedar, bahawa para pelajar juga harus memainkan peranan dan menunjukkan kesungguhan yang bukan alang kepalang dalam banyak perkara.

Salah satu aspek yang mesti dilakukan oleh setiap pelajar adalah menetapkan matlamat dan sasaran yang jelas.

Di dalam al-Quran Allah telah menetapkan matlamat dan sasaran yang harus dicapai dan dituju oleh setiap orang Islam iaitu melaksanakan ibadah ketaatan dan penyembahan hanya kepada Allah sahaja agar mencapai ketaqwaan dan keredhaan Allah. Di samping itu, setiap individu islam hendaklah melaksanakan tanggungjawabnya sebagai khalifah di muka bumi ini.

Di dalam permainan dan sukan bola sepak misalnya, mesti ada gol atau matlamat atau sasaran agar pemain dari kedua belah pasukan dapat mengembleng tenaga dan bekerjasama untuk menjaringkan gol ke pintu gol lawan. Dengan lain perkataan, perlu wujud satu matlamat atau objektif yang hendak dicapai oleh para pemain.

Begitu juga halnya dalam kehidupan kita yang singkat ini. Kita mesti memiliki matlamat, sasaran dan cita-cita. Cita-cita bersifat umum tetapi matlamat (goal) mempunyai ciri-ciri yang khusus agar lebih mudah tercapai dan dapat dinilai tahap pencapaiannya.

Ustazah percaya, ibu bapa juga mempunyai perancangan dan telah menetapkan matlamat atau hala tuju masing-masing ketika menghantar anak-anak sekalian ke sekolah ini.

Anak-anak yang dikasihi sekalian,

Anda bukan dari sekolah tadika dan terus melompat masuk ke tingkatan 3. Secara sedar atau tidak, anda sudah tahu matlamat paling asas dan paling utama apabila datang ke sekolah. Ibu bapa, guru-guru, abang, kakak, atuk dan nenek sudah menyebutnya bukan sekali, bukan dua kali bahkan berulang kali . Sekiranya anda masih terlalai ataupun terlupa akan matlamat anda, maka hidup anda di sekolah ini kelihatannya menuju kegagalan. Oleh itu, tetapkan matlamat itu sekarang. Jangan tunggu esok. Mulakan sekarang!

Selamat menduduki peperiksaan PT3. Semoga berjaya dengan cemerlang. Bittaufik Wannajah!