SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH SESI 2020

SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH SESI 2020

Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana di atas limpah kurniaNya sesi persekolahan tahun 2020 dapat dioperasikan dengan lancar.

MITT mengalu-alukan kedatangan murid-murid baru Tahun 1 dan Tingkatan 1 yang mendaftar masuk di sekolah ini. Sekolah ini mengalami perkembangan yang pesat sejak tahun penubuhannya. Bilangan guru telah bertambah daripada tahun ke tahun. Manakala bilangan murid bertambah pada sesi 2020 iaitu SMIT seramai 355 orang, SRIT seramai 744 orang dan Tahfiz Darul Quran pula seramai 134 orang. Alhamdulillah.

Saya mengucapkan selamat kembali bertugas kepada guru-guru untuk sesi persekolahan baru tahun 2020.  Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan jutaan terima kasih kepada semua warga kerja MITT kerana telah berjaya melaksanakan tugas dengan cemerlang pada tahun 2019 yang lalu. Justeru itu, tahun 2020 sekali lagi saya mengharapkan semua warga sekolah akan dapat berpadu tenaga untuk terus cemerlang dalam tugas masing-masing. Pengetahuan dan kemahiran kita dalam bidang pedagogi perlu ditingkatkan. Sikap yang positif merupakan kunci utama untuk meneruskan kejayaan sekolah.

Peningkatan kualiti guru dan kemenjadian murid sebagai Generasi Al Quran akan terus menjadi fokus sekolah pada tahun 2020 sesuai dengan matlamat program transformasi sekolah. Sekolah yang berkualiti lahir daripada pemimpin sekolah yang berkualiti dan guru yang berkualiti. Dengan ini akan dapat mengembangkan bakat, potensi dan kemenjadian murid-murid.

Kerjasama dengan ibu bapa dan komuniti akan ditingkatkan kerana tanpa kerjasama ini sudah tentu kemajuan dan kejayaan sekolah sukar dicapai.

Akhir kata, semoga kejayaan-kejayaan yang dicapai pada tahun 2019 akan menjadi pembakar semangat, tekad dan iltizam bagi meningkatkan lagi  kejayaan dalam bidang akademik, kokurikulum sahsiah dan juga disiplin.

Sekian, terima kasih.

Menjana Insan Cemerlang dalam membentuk generasi Al Quran.

NKD,Penyelaras ICT MITT.