SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN UPSR

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN UPSR

Anak-anak calon-calon UPSR semua,
Ustazah pasti kamu semua perlu telah bersedia dari segi mental dan emosi bagi menghadapi peperiksaan. Sehingga hari ini, kalian telah belajar selama 5 tahun  tidak termasuk alam pra sekolah. Maka inilah tahun terakhir kalian menjadi murid di sekolah rendah. Kata janji dan impian yang telah kalian tetapkan sejak awal tahun lalu, perlu dibuktikan.
Sematkan dalam diri bahawa,
Aku boleh
Aku akan cuba sedaya upaya aku,
Aku mahu mak dan ayah aku gembira atas kejayaan aku,
Aku mahu cikgu bangga dengan keputusan aku.
Anak-anak calon UPSR,
Jika kegagalan pada hari ini masih menghantui kalian, usahlah berputus asa. Kegagalan hari ini tidak bermakna kita akan gagal selamanya. Ustazah percaya orang yang telah berjaya pada hari ini, pasti pernah lalui kegagalan. Ustazah yakin anak-anak MITT ini tidak mudah mengalah.
Anak-anak Molek,
Suka Ustazah ingatkan, nilailah kembali pengorbanan dan jasa ibu dan bapa masing-masing. Penat lelah bekerja mereka tak pernah hilang demi melihat kalian berjaya. Fikirkan dan kenangkan harapan semua guru yang telah ajarkan kalian sejak tahun 1 lagi. Mohon kalian tidak hampakan harapan dan impian semua guru di sini.
Anak-anak yang ustazah sayang,
Anggaplah kalian barisan tentara mahu pergi berperang mempertahan negara daripada diancam. Maka usah takut, usah mengalah sebelum berjuang. Fokus dan yakin pada kemenangan dan kejayaan, inshaaAllah matlamat kalian akan tercapai.
Harapan Ustazah, pada hari akhir-akhir menuju hari peperiksaan ini, jaga diri , jaga keselamatan dan jaga kesihatan masing-masing. Dalam pada itu, teruskan berdoa kepada Tuhan agar hajat kalian diperkenankan olehNYa.
Ingat, selangkah kalian masuk ke bilik peperiksaan, niatkan dalam hati mahukan kejayaan dan membahagiakan semua orang yang kita sayang. Tetapkan dalam diri, biar apapun yang menanti, aku tetap teguh berdiri dalam satu perjuangan yang belum berkesudahan. Jangan sesekali lupa orang yang gagal selalu memberi alasan tetapi orang yang berjaya berusaha dengan tindakan.
Sekian, Bittaufik wannajah!